Sunday, 20 April 2014

KeBaHaGiAN DalaM PeRcArIaN

 Suhana, kau pernah minat pada seorang lelaki tak?” tanya kawan saya ketika kami sedang duduk berehat.

“Pernah lah,” jawab saya. Agak segan kerana soalan sensitif yang dilontar oleh kawan.

“Kalau kau suka, kau akan buat apa?”

“Aku akan berdoa dalam hati… “Ya Allah, aku suka akan dia, jika dia adalah jodohku, maka dekatkanlah dia untukku, jika bukan maka berikanlah yang lebih baik dari itu,” ” jawab saya.

“Oh…” terdiam seketika kawan saya itu.

Benar, setiap orang pasti pernah jatuh cinta. Namun bagi yang menjaga iman dan diri, pasti dipendamkan dahulu, cuba berusaha dengan cara yang betul untuk meraih cinta tersebut. Berusaha untuk tidak mencemari diri dari melakukan perkara-perkara yang mampu mencalarkan maruah diri dan sebagainya.



Wanita fitrahnya adalah seperti daun semalu, yang berduri dan bila disentuh tertutup malu. Seperti bunga mawar yang indah namun penuh berduri tajam. 

Jangan dihilangkan fitrah itu, kerana cinta anda sanggup mengejar sesuatu yang pasti bukan kepunyaan anda.

Seringkali kerisauan mengenai jodoh menjadi pendorong kepada berlakunya ikatan kemanusiaan jantina yang berbeza yang tiada nilai di sisi agama – bercouple tanpa ikatan nikah!

Atas alasan takut diri tidak laku, maka jika sesiapa lelaki yang menghulur cinta maka terus diterima tanpa berfikir dengan akal yang waras. Maka ketetapan Allah mengenai jodoh tidak dipeduli kerana kerisauan yang sering menghantui diri.

Sudah dibilang pelihara diri anda, maka peliharalah kerana itu bukan sesuatu yang merugikan. Namun, jika diri sudah terperangkap dengan mainan emosi kerisauan ini, segeralah bermuhasabah.

Ya, benar.. saya akui, jodoh tidak akan datang bergolek, ia perlu dicari. Namun, pencarian anda itu bagaimana caranya? Adakah mengikut syariat atau tidak? Adakah anda yakin ‘boyfriend’ anda sekarang pasti meminang anda atau tidak?

Dan akhirnya pasti kalian menjawab, “terserah pada Allah, moga inilah jodohku..”

Nah, akhirnya anda sendiri akur untuk berserah juga akhirnya, tetapi berserah setelah mengikut pencarian yang salah, anda sendiri mampu menafsir apa yang berlaku seterusnya.

Saya tidak menafikan juga bahawa kebahagiaan itu tidak mampu dinilai. Tapi sedarlah wahai sekalian sahabatku, kita sering bermimpi indah selepas perkahwinan, punya anak-anak yang soleh dan sebagainya, tapi hakikatnya kita masih kabur dalam menilai erti perkahwinan itu sendiri.

Seharusnya perkahwinan ini mampu menghasilkan generasi Islam yang lebih mantap, bukan pewaris kepada dosa-dosa yang kalian sudah lakukan sebelumnya.

Tuntasnya, saya mahu mengingat kepada diri serta sahabat sekalian bahawa carilah jodoh anda dengan cara yang paling diredhai oleh Allah.

Berpacaran bukanlah jalan terbaik untuk mengatasi masalah kerisauan anda tentang jodoh. Jika indah akhlak kalian, menjaga peribadi anda, jodoh itu sendiri datang kepada kalian dengan izin Allah.

Mahu pasangan yang soleh dan solehah? Andalah yang perlu menjadi soleh atau solehah dahulu.
Mintalah kepada-Nya, kerana hanya Dia  yang Maha Mengetahui jodoh terbaik untuk kalian.


Apa yang perlu kalian lakukan sekarang bukanlah menjalin hubungan mesra dengan pacaran tetapi jalinlah hubungan mesra dengan Yang Maha Memiliki!

Jangan sekadar mohon jodoh, namun-mohonlah juga keturunan yang baik kerana itu bisa menjadi penyejuk mata dan hatimu.

Ikutlah jalan Islam, pasti bahagia selamanya… insyaAllah! <3

Friday, 18 April 2014

KiTa BuKaN LeMaH

Saya juga pernah merasakan yang demikian disaat saya kecewa dan sedih. Tetapi itu bukan alasan untuk saya menjadi lemah, malah itulah punca saya menjadi lebih kuat untuk menghadapi dugaan-dugaan mendatang. Allah menciptakan kita dengan kekuatan dan kelemahan kita masing-masing. Disaat Allah memberikan kita kelemahan, disitulah Allah sisipkan kekuatan. Kita cuma perlu berusaha untuk mencari kekuatan itu. Ada. Saya pasti ia ada dalam setiap seorang yang bergelar manusia.
Tatkala kita merasa sedih, jangan takut. Merasa sedih itu biasa. Jika ada manusia yang tidak pernah merasa sedih, maka dia bukan manusia. Sedangkan Rasulullah S.A.W juga pernah merasa sedih yang amat ketika kehilangan datuk dan isteri kesayangannya. Baginda juga pernah berasa tidak mampu menanggung beban sehingga pergi memencilkan diri buat sementara waktu semata-mata untuk mengembalikan keyakinan hidup baginda. Inikan kita cuma insan biasa, yang tidak pun maksum, malah sering kali bergelumang dengan dosa, merasa sedih itu patut ada dalam diri kita.
Betul. Sedih dan merasa lemah adalah dua perkara yang berbeza tetapi mereka amat berkait antara satu sama lain. Kerana kita merasa kecewa, kita akan bersedih. Bersedih terlalu lama dan enggan bangun dari kekecewaan yang kita alami, maka kita akan menjadi lemah. Lemah di sini merujuk kepada perasaan yang tidak yakin terhadap kemampuan diri sendiri. Kita sering kali merasa rendah diri dan merasa diri kita kurang daripada orang lain.
Kita merasakan kita tidak mampu menjadi manusia yang dapat menandingi manusia yang lain. Tidak. Manusia lain juga tidak hebat. Mereka tidak lahir dan terus menjadi hebat. Mereka berusaha untuk menjadi hebat. Jadi kenapa kita harus berfikir kita lemah dari manusia lain? Mereka juga manusia seperti kita, mempunyai kebolehan berfikir  dan berdikari yang sama untuk memajukan taraf hidup masing-masing.
Pasti banyak perkara yang terjadi dalam hidup ini membuat kita bersedih dan kecewa. Satu perkara yang kita tahu sejak azali lagi, bersedih bukan bermakna kita lemah. Titisnya setiap airmata bukan bermaksud kita lemah. Allah jadikan setiap airmata itu dengan seribu satu kekuatan dan hikmah yang besar. Jadi jangan sesekali kita menangis untuk benda yang sia-sia.
Kita hidup bukan untuk mengejar kesempurnaan hidup. Kita hidup untuk menyempurnakan aspek kehidupan kita di akhirat kelak. Duit yang banyak dan syarikat yang berjaya bukan matlamat kita. Kenapa kita harus bersedih atas kehilangan benda-benda sebegitu?


Sering kali terdengar ungkapan ini sama ada di kaca televisyen atau dunia realiti “Saya hanya manusia biasa yang lemah, tidak mampu berbuat apa-apa selain pasrah dengan setiap ketentuan Allah.” Salah! Sangat salah untuk kita berpegang pada kata-kata ini.