~rasa kerinduan untuk menjelajah blog~
Ketenangan itu dicapai melalui
zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada
hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang.
Ada orang berkata, "ketika saya
dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya
ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah
beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?"
Zikrullah hakikatnya bukan sekadar
menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan
"membaca" kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi
– dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli).
Mari kita lihat lebih dekat
bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan. Katalah lidah kita
mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli.
Namun, pada masa yang sama hati
hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af'al
(perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah
dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat
kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.
Dimensi
Kata, Rasa Dan Tindakan
Jika seorang hamba yang berdosa
bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan
catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi "hadiah" kepadanya.
Firman Allah:
"Wahai orang-orang yang
beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya,
mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan
kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai..." (Surah
At Tahrim: 8)
Firman Allah lagi:
"... Sungguh, Allah menyukai
orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri." (Surah
Al-Baqarah: 222)
Sifat ini berbeza sekali dengan kita
manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan
segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan – forgive yes,
forget not! Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci,
memfitnah dan menghina kita?
Ah, jauh panggang daripada api!
Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan
sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi,
apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini
zikir qalbi namanya.
Tidak cukup di tahap itu, zikrullah
perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih
itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia
melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan
meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat.
Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri,
memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat
dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli!
Sekiranya ketiga-tiga dimensi
zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati.
Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara:
Rasa
kehambaan. Rasa
bertuhan. Memahami maksud takdir. Mendapat
hikmah di sebalik ujian.
Hati adalah sumber dari segala-galanya
dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga
kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat
merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia
ini dan di akhirat nanti.
Untuk menjaga kebersihan hati maka
kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita
dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita
dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai
kebahagiaan dunia dan akhirat.
Rasa
Kehambaan
Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu
ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah
rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan
kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan
nampak segala-galanya itu datang daripada Allah. Firman Allah:
"Katakanlah (Muhammad), tidak
akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah
pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang
beriman." (Surah At Taubah: 51)
Seorang hamba akan pasrah dan
merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan
apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku,
bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan
ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati
menjadi tenang. Jika kita "memberontak" hati akan bertambah kacau.
Imam Ghazali pernah menyatakan
bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah "memberontak" kepada
Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji
Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya.
Misalnya, dia tidak lalu mahu
makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak
berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang
menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya.
Ungkapan mandi tak basah, tidur tak
lena, makan tak kenyang adalah satu "demonstrasi" seorang yang sudah
tercabut rasa kehambaannya apabila diuji.
Bila ditimpa ujian kita diajar untuk
mengucapkan kalimah istirja' – innalillah wa inna ilaihi rajiun. Firman Allah:
"...Iaitu orang-orang yang
apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan
kepada-nyalah kami kembali." (Surah Al-Baqarah: 156)
Mengapa kita diperintahkan
mengucapkan istirja'?
Kalimah ini sebenarnya mengingatkan
kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik
Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji
kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.
Rasa
Bertuhan
Rasa kehambaan yang serba lemah,
miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa
lemah timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Bila kita rasa kurang timbul
pengharapan kepada yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada
yang Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati
sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan.
Jika rasa kehambaan menyebabkan kita
takut, hina, lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia
dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang
merasa lemah di sisi Allah.
Ketika itu ujian walau bagaimana
berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya.
Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kebimbangan
Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, "la
tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!"
Rasa bertuhan inilah yang
menyebabkan para nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan
murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka
mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa.
Tidak ada istilah kecewa dan putus
asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan
sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah.
Firman Allah:
"Dan pohonlah pertolongan
dengan sabar dan solat." (Surah Al-Baqarah)
Dalam apa jua keadaan, positif
mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak
dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang. Firman Allah:
"Dialah Tuhan yang menurunkan
ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin
bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan
bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana." (Surah Al-Fath: 4)
Bila hati tenang berlakulah keadaan
yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
Maksudnya: "Amat menarik hati
keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada
orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya
kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga
memberikannya kebaikan." – Al Hadis
Memahami
Maksud Takdir Allah
Mana mungkin kita mengelakkan daripada
diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah
meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya
upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can't direct the
wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan
angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.
Kemudi dalam pelayaran kehidupan
kita adalah hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya
akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang,
keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke
atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk
hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha
luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.
Tidak salah untuk kita menyelesaikan
masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika
masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah
berdasarkan firman-Nya:
"Ada perkara yang kamu tidak
suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk
bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak
mengetahuinya." (Surah Al-Baqarah : 216)
Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah
menjelaskan hakikat ini menerusi katanya, "barang siapa yang menyangka
sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana
pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang."
Siapa tidak inginkan kekayaan, malah
kita dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih
miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan... mungkin itu caranya untuk kita
mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu,
maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.
Kalau kita berkuasa, Allah inginkan
kita melaksanakan keadilan. Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin
yang baik), itulah jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupanya cantik kita
gunakan ke arah kebaikan. Hodoh? kita terselamat daripada fitnah dan godaan.
Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud
Allah di sebalik takdir itu.
Jadi, kita tidak akan merungut,
stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh
Ibnu Atoillah ini: "Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak
dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa
keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik."
Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya,
namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba
mengambil alih "kerja Tuhan" yakni cuba menentukan arah angin dalam
kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita
dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa. Kata bijak pandai: "It's
not what happens to you, but it's what you do about it. It is not how low you
fall but how high you bounce back!"
Mendapat
Hikmah Bila Diuji
Hikmah adalah sesuatu yang tersirat
di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan
satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh "mehnah" – didikan
langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya.
Rasulullah s.a.w. bersabda,
"perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang
dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah
yang baik sahaja!"
Jika tidak diuji, bagaimana hamba
yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah
daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul
ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar
dan berani menanggung ujian.
Ringkasnya, hikmah adalah kurnia
termahal di sebalik ujian buat golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan
solihin ialah mereka yang sentiasa diuji.
Firman Allah: "Apakah kamu
mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang
penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu,
iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan kegoncangan, sehingga Rasul
dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: "Bilakah datangnya
pertolongan Allah?" (Surah Al-Baqarah: 214)
Pendek kata, bagi orang beriman,
ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai
maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan berdosa sekalipun,
ujian didatangkan-Nya sebagai satu pengampunan. Manakala dalam keadaan taat,
ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.
Justeru, telah sering para
muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan
berkata: "Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam
kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam
kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak
bergantung kepada sesuatu selain Allah."
Apabila keempat-empat perkara ini
dapat kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan
setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong
menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan
berkasih sayang antara satu dengan lain.
Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak
zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di
akhirat nanti. Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir,
hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat
yang tinggi tetapi zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya.
Insya-Allah, dengan zikrullah hati
kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau
tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan
kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia
tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita.
Dengan itu semua orang layak untuk
bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya.
Rupa-rupanya yang di cari terlalu dekat... hanya berada di dalam hati sendiri!
#ketenangansukardicarimelainkankehendaknya~
No comments:
Post a Comment